Siri Celik Awam:Tak semua orang boleh turun undi? Istimewanya hak untuk mengund…


Siri Celik Awam:
Tak semua orang boleh turun undi? Istimewanya hak untuk mengundi.

PENGENALAN
Sejak kebelakangan ini, arena politik tanah air kian hangat tatkala hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin menghampiri kita. Sudah tentu ada di antara kita yang mempunyai beberapa persoalan mengenai pilihan raya secara amnya. Oleh hal yang demikian, kami ingin berkongsi dengan anda semua informasi berkaitan pilihan raya yang dijalankan di Malaysia.

HAK UNTUK MENGUNDI
Hak untuk mengundi diperuntukkan oleh Artikel 119(1) Perlembagaan Persekutuan di mana setiap warganegara yang telah memenuhi syarat sebagai seorang pengundi berhak mengundi di dalam suatu kawasan pilihan raya di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

KELAYAKAN UNTUK MENGUNDI
Artikel 119(1) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk seseorang berhak mengundi. Syarat-syaratnya ialah:-
Warganegara Malaysia;
Berumur 21 tahun;
Menetap di suatu kawasan pilihan raya; dan
Didaftarkan di dalam daftar pemilih sebagai pengundi.

HILANG KELAYAKAN UNTUK MENGUNDI
Sungguhpun setiap warganegara yang cukup syarat berhak untuk megundi, hak ini boleh dibatalkan disebabkan oleh beberapa perkara yang diperuntukkan oleh Artikel 119(3) Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara tersebut ialah:-
Dia ditahan kerana gila;
Dia sedang menjalani hukuman penjara; atau
Dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan dihukum dengan hukuman mati atau penjara melebihi 12 bulan dan dia masih menjalani hukuman bagi kesalahan itu.

Selain itu, hak untuk mengundi juga bukanlah suatu hak yang mutlak. Dalam erti kata lain, hak untuk mengundi boleh dihadkan dan dinafikan. Rujukan boleh dibuat terhadap kes Yazid bin Sufaat & Ors v Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia [2009] 6 MLJ 152, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa
“Hak untuk mengundi juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang dibuat dan hak tersebut hanya boleh dilaksanakan mengikut cara yang diperuntukkan oleh undang-undang dan peraturan tersebut. Cabaran kepada mana-mana peruntukan yang menetapkan hak untuk mengundi tidak boleh dibuat dengan merujuk kepada hak asasi di dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Pada 24/3/2022, Dewan Rakyat telah meluluskan Akta (Pindaan) Perlembagaan 2022 dimana suatu Artikel baharu iaitu Artikel 119A dimasukkan yang bertujuan untuk mengecualikan mana-mana Raja dan Isterinya, mana-mana Yang di-Pertua Negeri dan Isterinya, dan mana-mana bakal raja, waris ganti dan waris lain Raja dan isteri mereka, dan mana-mana orang lain, daripada tanggungjawab untuk mengundi. Pengecualian tersebut dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan bahawa rasional Akta tersebut adalah untuk memastikan Raja-Raja berkecuali dan bersifat neutral dalam semua aspek.

KEWAJIPAN UNTUK MENGUNDI
Berdasarkan informasi di atas, anda mungkin tertanya, sekiranya hak untuk mengundi boleh dinafikan atau dihadkan, Adakah wajib untuk kita semua mengundi? Apa akan terjadi jika kita tidak mengundi?
Dari segi undang-undang, mengundi adalah tidak wajib. Tiada peruntukan undang-undang yang menjadikan kegagalan untuk mengundi sebagai suatu kesalahan dan tiada hukuman untuk mereka yang tidak mengundi.
Namun begitu, sebagai seorang warganegara Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengundi. Dalam sistem demokrasi seperti yang diamalkan di Malaysia, rakyat diberikan peluang untuk menentukan wakil rakyat mereka dan secara tidak langsung hala tuju pentadbiran negara kerana pemimpin yang mewakili mereka akan menentukan dasar serta amalan kerajaan.

Senarai Rujukan
https://www.usim.edu.my/ms/berita/in-our-words-ms/rakyat-malaysia-perlu-tunai-tanggungjawab-sebagai-pengundi-demi-masa-depan-negara/
https://www.astroawani.com/berita-politik/rakyat-perlu-mengundi-tidak-mengundi-boleh-menjadi-dosa-abdul-hadi-386820
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2022/03/24/amendment-to-constitution-bill-unanimously-approved-in-parliament/2049369
https://www.parlimen.gov.my/files/billindex/pdf/2022/DR/DR%209_2022%20-%20BM.pdf




Source

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *