“KONDOMINIUM 3 BILIK: FREEHOLD. HARGA BERMULA PADA RM500K”
“RUMAH TERES 1 TINGKAT: LEASEHOLD. HARGA BERMULA PADA RM500K”
Pernah tak sepanjang hidup anda terbaca iklan-iklan jualan rumah seperti di atas? Kami yakin 90% orang yang baca pos ini pasti pernah terbaca iklan seperti di atas.
Jadi, tentu ramai yang keliru atau mungkin tak tahu apa itu FREEHOLD dan LEASEHOLD. So, harini Azlan Shah & Partners nak berkongsi sedikit info berkaitan dengan freehold dan leasehold ini. Jom kita start.
FREEHOLD atau dalam Bahasa Melayu kita panggil sebagai Pegangan Bebas dan juga Leasehold atau dalam Bahasa Melayu kita panggil Pegangan Pajakan ini adalah merupakan antara jenis pegangan hartanah yang terdapat di Malaysia. Secara umumnya, terdapat 3 jenis pegangan, iaitu Pegangan Bebas, Pegangan Pajakan dan juga Pegangan Sementara. Tapi hari ini, ASP nak bercerita berkaitan dengan Pegangan Bebas dan Pegangan Pajakan sahaja. Pegangan Sementara nanti kita sambung dalam pos yang akan datang.
FREEHOLD (Pegangan Bebas)
Pegangan Bebas ini bermaksud, pembeli yang membeli tanah itu atau rumah yang dibina di atas tanah itu adalah merupakan pemilik bagi tanah dan/atau rumah tersebut secara bebas tanpa ada apa-apa kekangan dan tempoh masa. Senang cerita, anda beli tanah atau rumah tersebut, sampai bila-bila lah tanah atau rumah tersebut menjadi milik anda. Tidak ada apa-apa tempoh masa. Kalau muka bumi ini kekal sampai lagi 3000 tahun lagi, selama itu lah tanah atau rumah itu menjadi milik anda. Anda boleh buat sesuka hati anda atas tanah atau rumah tersebut, nak jual ke, nak bagi sebagai hadiah ke, nak sewakan ke, nak gadai ke, ikut suka. KECUALI, kalau tanah anda digazetkan untuk pengambilan oleh kerajaan bagi manfaat orang awam, contoh kerajaan nak buat highway, lalu atas tanah atau rumah anda, atau sebab-sebab lain, anda wajib serahkan tanah atau rumah anda kepada kerajaan tertakluk kepada pembayaran pampasan.
Kalau nak tau tanah atau rumah yang anda duduk sekarang ini adalah Pegangan Bebas atau tidak, pergi ambil geran (title) tanah atau rumah anda yang anda simpan samada dalam laci almari baju atau di mana-mana, lihat pada bahagian atas geran tersebut. Kalau tertulis Geran atau Geran Mukim, bermaksud, tanah atau rumah anda adalah berpegangan bebas.
Tapi, sayangnya sekarang ini agar susah nak cari tanah atau rumah yang dibuka untuk dijual berstatuskan Pegangan Bebas.
LEASEHOLD (Pegangan Pajakan)
Pegangan Pajakan ini bermaksud, pembeli yang membeli tanah atau rumah yang dibina di atas tanah tersebut adalah merupakan pemilik kepada tanah atau rumah tersebut bagi tempoh yang ditetapkan sahaja.
Kebiasaanya adalah selama 99 tahun untuk tanah yang digunakan untuk kediaman. Tapi bagi tujuan lain, kebiasaanya tempoh masa yang diberikan bagi pemilikan tanah tersebut adalah dalam 30 tahun hingga 60 tahun. Ini bermaksud, tanah atau rumah yang anda miliki tersebut hanya menjadi hakmilik anda bagi tempoh 99 tahun sahaja. Tamat tempoh 99 tahun tersebut, tanah atau rumah tersebut perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri semula. Tapi jangan risau, perkara ini amat jarang berlaku. Biasanya, setelah tamat tempoh pajakan tersebut atau sebelum tamat tempoh, pemegang Pegangan Pajakan ini akan diberikan peluang untuk melanjutkan tempoh pajakan tersebut kepada beberapa puluh tahun lagi tertakluk kepada pembayaran premium nilai semasa tanah atau rumah tersebut. Pegangan Pajakan ini juga tertakluk kepada pengambilan tanah oleh kerajaan bagi manfaat orang awam atau sebab-sebab lain. Kalau tanah atau rumah anda digazetkan untuk pengambilan oleh kerajaan, walaupun belum tamat tempoh pajakan, anda perlu serahkan tanah atau rumah anda kepada kerajaan.
Jadi, cuba semak geran tanah anda, kalau tertera di bahagian atas geran tersebut perkataan Pajakan atau Pajakan Mukim, maka, tanah atau rumah anda adalah berada di bawah Pegangan Pajakan. Kemudian semak berapa tahun pajakan tersebut dan bila tarikh serahan hakmilik diberikan. Sekiranya pajakan adalah 99 tahun dan serahan hakmilik tanah tersebut dibuat pada tahun 1949, maka, anda hanya tinggal 29 tahun sahaja lagi sebelum pajakan tersebut tamat tempoh.
Zaman sekarang ni banyak tanah atau rumah adalah berstatus Pegangan Pajakan disebabkan oleh, tanah tersebut diberi milik oleh kerajaan kepada pemaju untuk dibangunkan.
So, sebelum ASP tamatkan pos kali ini, ASP nasihatkan anda pergilah semak jenis pegangan tanah atau rumah anda. Kalau Pegangan Bebas, tak ada masalah, tapi kalau Pegangan Pajakan, semak sekali tahun pemberian hakmilik. Mana lah tahu 2019 adalah tahun tamat tempoh pajakan tersebut. Boleh lah esok anda ambil cuti atau separuh hari untuk uruskan hal tanah. Dah dapat rehat sehari esok.
Ok jumpa lagi pada pos akan datang. Semoga bermanfaat!
Sekian,
Aizan Salleh
Tetuan Azlan Shah & Partners