KAWAN TAK BAYAR HUTANG? SAUDARA TAK BAYAR HUTANG? APA SUSAH-SUSAH, MAHKAMAH KAN ADA!
Sekarang ni dah jadi kebiasaan manusia hutang sana sini lagi-lagi dengan orang yang mereka rapat. Sudah tidak kira, adik beradik ke, saudara-mara atau rakan rakan rapat sendiri. Kita pula jenis bila dengar kawan ke saudara tengah susah, mereka nak pinjam duit kita bagi. Mula-mula kesian lah, lama-lama bila tengok simpolan tu upload gambar pergi shopping, beli itu ini ewah hutang kita dia taknak pulak bayar. Pada mulanya, kita nak bersangka baik. Ah, mungkin dia lupa. Jadi, kita ingatkan secara bersahaja. Tetapi hutang kita masih tak dibayarnya. Lama-lama fed up jugak.
Jadi, tahukah anda, kalau jumlah hutang tersebut adalah kurang daripada RM5000, kita masih boleh menggunakan undang-undang yang ada di Malaysia untuk memaksa mereka yang berhutang melunaskan hutang kita? Tak perlu pakai peguam pun ok!
JENIS-JENIS HUTANG YANG BOLEH DITUNTUT ADALAH
1. Hutang-Hutang berupa nilai wang.
2. Upah bagi kerja/perkhidmatan yang telah dibuat atau diberi.
3. Kadar sewa yang tidak dijelaskan oleh penyewa kepada pemilik rumah/tanah.
5. Menuntut terhadap barangan yang rosak.
6. Menuntut terhadap perjanjian perkhidmatan/persembahan yang sepatutnya dilaksanakan.
Mahkamah bagi tuntutan kecil ini diwujudkan bagi membicara kes di mana hanya pihak menuntut dan pihak kena tuntut sahaja yang terlibat tanpa menggunakan peguam bagi tujuan mengurangkan kos guaman yang ditanggungi pihak-pihak. Ini membolehkan pihak-pihak yang mempunyai masalah kewangan bagi melantik peguam, untuk memfailkan dan mengendalikan secara sendiri tuntutan mereka di Mahkamah. Jika tuntutan anda melebihi RM5,000 anda perlu melantik peguam okay.
PROSES DAN PROSEDUR MELAKUKAN TUNTUTAN KECIL DI MAHKAMAH
Anda sebagai penuntut hutang akan dikenali sebagai “Plaintif”, manakala rakan/saudara anda yang berhutang tadi akan dikenali sebagai “Defendan”. Plaintif boleh mendapatkan Borang 198 yang telah disediakan di Mahkamah atau melalui muat turun borang tersebut dan menyatakan amaun dan butir-butir tuntutan.
Jadi, setelah mengisi borang, plaintif mestilah memfailkan borang tersebut dengan kos pemfailan sebanyak RM20.00. Borang itu akan dimeterai mahkamah dan juga akan menetapkan tarikh bicara untuk kes yang didaftarkan itu. Plaintif dikehendaki menghantar borang termetrai tadi kepada Defendan melalui pos pra bayar di pejabat pos atau secara sendiri pun boleh kepada Defendan.
HARI PERBICARAAN DI MAHKAMAH
Perbicaraan akan dikendalikan oleh seorang majistret. Semasa perbicaraan, plaintif perlu membuktikan kes terhadap defendan. Ketika hari perbicaraan berlangsung, bawalah segala dokumen yang berkenaan untuk menunjukkan bahawa anda telah meminjamkan wang tersebut kepada rakan anda. Jika tiada dokumen, keterangan lisan juga boleh diterima. Lampirkan juga sebarang perbualan atau apa-apa yang pernah dipersetujui bersama, bila pinjaman dibuat dan sudah berapa lama ia tidak dibayar semula hutang tersebut. Selepas selesai keterangan plaintif, defendan pula memberi keterangan. Akhirnya, setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, majistret tadi akan memberi keputusannya.
Selain dari penghakiman yang telah dikeluarkan oleh majistret tadi, plaintif juga boleh menuntut kos iaitu perbelanjaan ke mahkamah beserta fee pemfailan borang yang tidak melebihi RM100.00 dari defendan. Sekiranya defendan gagal untuk melakasanakan pembayaran atau apa-apa perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah kepada Plaintif, maka Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah supaya defendan membayar secara ansuran, atau hartanya disita/dijual atau memerintahkan defendan untuk dipenjarakan.
Jadi, jangan putus asa sekiranya anda mempunyai tuntutan yang kecil okay kerana hak anda masih boleh ditegakkan di Mahkamah Tuntutan Kecil. Tak perlu nak kesian pada orang yang tak perlu dikasihankan. Anda juga yang sakit hati memikirkannya nanti. Berpada-pada lah dalam membuat baik dan beri pengajaran kepada yang perlu diajar.
Sekian.
Athirah Azham
Tetuan Azlan Shah & Partners
***Penulisan telah dibuat berdasarkan rujukan kepada Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Jika hutang tersebut adalah melalui duit kutu, adalah masih boleh diterima Oleh mahkamah utk membuat tuntutan?
Jika hutang tersebut adalah melalui duit kutu, adalah masih boleh diterima oleh mahkamah utk membuat tuntutan?