“DI-REJECT”? TUNTUTAN TERHADAP SYARIKAT INSURAN. – Muhammad Syahmi Akif Jamili (Associate)

Dalam kebanyakan keadaan, syarikat insuran wajar menanggung kerugian dan/atau kerosakan kenderaan yang anda alami sekiranya anda terlibat dengan kemalangan.

Namun, syarikat insuran juga boleh menolak tuntutan insuran anda. Sekiranya hal ini berlaku. Apa yang perlu anda lakukan?

  1. HUBUNGI EJEN INSURAN dan/atau JABATAN TUNTUTAN: Kenalpasti punca atau dapatkan penjelasan mengapa tuntutan anda ditolak. Anda turut boleh tanya sama ada keputusan penolakan muktamad atau masih boleh membuat rayuan. Pastikan dokumen sokongan yang lengkap diberikan dan anda juga wajib menyimpan salinan dokumen sokongan tersebut!
  2. DAPATKAN BANTUAN ALTERNATIF DARIPADA OMBUDSMAN PERKHIDMATAN KEWANGAN: Anda juga berhak mendapatkan bantuan daripada Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OPK).

    Melalui OPK, anda perlu memastikan (1) anda melanggan polisi insuran dengan syarikat yang merupakan ahli OPK; (2) Tiada sebarang persetujuan dan/atau penyelesaian dengan syarikat insuran dalam tempoh enam bulan dari keputusan muktamad pihak pengurusan; dan (3) Anda belum memulakan apa-apa prosiding undang-undang

  3. DAPATKAN KHIDMAT GUAMAN: Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan penerangan ejen/bahagian tuntutan atau sebarang keputusan daripada OPK, anda boleh membuat tuntutan undang-undang sekiranya tuntutan anda ditolak tanpa sebab munasabah oleh syarikat insuran.

APAKAH KAUSA TINDAKAN YANG BOLEH SAYA AMBIL TERHADAP SYARIKAT INSURANS MELALUI TINDAKAN UNDANG-UNDANG?

Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap syarikat insurans melalui tuntutan sivil yang difailkan di Mahkamah. Secara mudah, kausa tindakan yang boleh diambil terhadap penanggung insuran adalah antaranya:

            A. Pelanggaran tugas (duty of care) sebagai Penanggung Insurans terhadap anda sebagai pelanggan dan/atau pemegang polisi insuran.

Anda sebagai pelanggan WAJIB untuk mendedahkan segala fakta yang berkaitan dan menyerahkan sebanyak mana informasi berkenaan dengen subjek tuntutan kemalangan anda! Prinsip ini dipanggil sebagai doktrin “Uberrimae Fidei” iaitu prinsip utama insurans yang sangat asas dan tertinggi.

Sekiranya terdapat sebarang penemuan bahawa terdapat fakta yang disembunyikan, dipalsukan atau dikemukakan oleh anda, maka penanggung insuran berhak menolak tuntutan anda.

            B. Kemungkiran kontrak oleh syarikat insurans

Dalam setiap polisi insurans, sudah tentu terdapat peruntukan bahawa syarikat insurans selaku penanggung insurans mesti membayar pampasan kepada pelanggan sekiranya pelanggan mengalami kemalangan dan/atau kerosakan.

Akibat daripada kemungkiran terma-terma dan syarat-syarat kontrak dalam Polisi Insurans tersebut (iaitu keengganan syarikat insurans untuk memberikan pampasan tanpa sebab yang munasabah) – anda mengalami kerugian dan/atau kerosakan.

Adalah penting untuk mengetahui bahawa setiap kontrak (ya! Termasuk kontrak berkaitan insurans) Mahkamah akan meneliti setiap terma yang dipersetujui oleh pihak-pihak.

Oleh itu, perhatikan setiap terma dalam dokumen polisi insurans anda dan dapatkan khidmat guaman untuk meneruskan tindakan terhadap syarikat insurans anda.

APA YANG BOLEH SAYA DAPAT MELALUI TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP SYARIKAT INSURANS?

Anda boleh menuntut antaranya seperti berikut:

  1. Kos harian kehilangan kegunaan kenderaan dari tarikh kemalangan tersebut.
  2. Kos baikpulih kenderaan.
  3. Kesusutan nilai kenderaan anda.
  4. Tekanan emosi (boleh rujuk artikel: [emotional damage)
  5. Kos perjalanan anda (termasuk kos ke pejabat polis untuk membuat laporan dan apa-apa perjalanan susulan).
  6. Anda juga boleh menuntut gantirugi khas, gantirugi am, gantirugi teladan, gantirugi teruk serta kos guaman.

Gantirugi-gantirugi di atas (yang mana berkaitan) akan ditaksirkan oleh Mahkamah dalam tempoh tindakan guaman tersebut.

Sekiranya tuntutan insurans anda ditolak, jangan berputus asa! Luangkan masa untuk memahami sebab di sebalik penolakan, kumpulkan bukti yang berkaitan dengan lengkap. Ingat, insurans anda PERLU melindungi anda, anda boleh membuatkan tuntutan yang pada awalnya ditolak menjadi tuntutan yang berjaya.


Penafian: Artikel ini hanyalah untuk tujuan memberi informasi dan tidak membawa kepada sebarang nasihat undang-undang. Sekiranya terdapat sebarang persoalan, sila hubungi kami.