(#wasiat) Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan…


(#wasiat)

Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.

Menulis wasiat adalah sangat berfaedah kerana pelantikan wasi melalui dokumen wasiat akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian. Pelantikan penjaga yang dipercayai melalui wasiat akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian anda. Pada masa yang sama, ia juga akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.

MAIS boleh menjadi wasi kepada wasiat anda berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

Menepati hasrat peruntukan di atas, maka MAIS telah memperluaskan fungsinya untuk menerima permohonan wasiat dan melaksanakan wasiat daripada seluruh umat Islam di negeri Selangor. Fungsi MAIS sebagai agensi yang mengurusan wasiat orang Islam telah menjadi tulang belakang kepada perjalanan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 yang dijadikan sebagai panduan dan amalan melaksanakan pengurusan wasiat orang Islam dalam negeri Selangor. Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 merupakan pelopor kepada perjalanan pengurusan wasiat orang Islam di negara ini. Ia memperuntukkan beberapa perkara berkaitan pelaksananan wasiat, penarikan balik wasiat, penerimaan dan penolakan wasiat dan beberapa peruntukan penting yang memandu perjalanan sistem wasiat orang Islam berdasarkan hukum syarak.

Bagi melancarkan perjalanan pengurusan wasiat di MAIS, maka satu kaedah yang dinamakan sebagai Kaedah-Kaedah Pengurusan Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 2008 telah digubal dan diwartakan berdasarkan peruntukan Seksyen 29, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999.


Source