MACAM MANA NAK PINDAH MILIK HARTANAH DI MALAYSIA?
Assalammualaikum dan salam sejahtera. Pada pos yang lepas ASP telah berkongsi berkaitan dengan sejarah dan perkembangan Kanun Tanah Negara 1965 (“KTN”) di negara ini. Di akhir pos tersebut, ASP ada menyatakan bahawa, di dalam KTN, terdapat 4 urusan-urusan yang melibatkan kepentingan dan/atau hakmilik inidividu.
So hari ini, ASP nak berkongsi berkaitan dengan urusan yang pertama iaitu Pindahmilik dibawah Bahagian Ke Empat Belas Kanun Tanah Negara.
Ok, jom kita start.
Pertamanya, kita perlu lah tahu, siapa yang boleh buat pindahmilik tanah ni. Dibawah KTN menyatakan bahawa, hanya Pemilik Berdaftar sahaja yang boleh membuat urusan pindahmilik. Pihak-pihak lain, tak kiralah pihak yang mendapat manfaat di atas tanah itu, atau penyewa, atau ketua kampung, atau ketua jabatan tempat dia bekerja atau sesiapa sahaja, tidak mempunyai hak dan/atau kuasa untuk membuat urusan pindahmilik. Peringatan, walaupun anda telah duduk di atas tanah itu sejak dari zaman parameswara, tapi jika tanah itu tidak didaftarkan atas nama anda, maka, anda bukanlah dikategorikan sebagai Pemilik Berdaftar dan sekaligus tiada hak untuk membuat urusan pindahmilik di atas tanah itu.
Sebagai pemilik berdaftar, anda berhak untuk memindah hakmilik tanah anda kepada sesiapa sahaja yang anda suka. Tak kiralah kepada keluarga, sahabat, guru, musuh, jiran tetangga, mahupun bos di pejabat.
Jadi, apa yang boleh dipindahmilik? Dibawah Seksyen 214 KTN, terdapat 5 perkara yang berupaya untuk dipindahmilik iaitu:-
1. keseluruh, tetapi tidak sebahagian sahaja, mana-mana tanah berimilik;
2. keseluruh, tetapi tidak sebahagian sahaja, mana-mana bahagian yang tak dipecahkan dalam dari tanah berimilik;
3. apa-apa pajakan tanah berimilik;
4. apa-apa gadaian; dan
5. apa-apa tenansi yang bebas daripada pendaftaran.
Tetapi, perlu diingat, tak semua jenis tanah boleh dipindahmilik walaupun urusan pindahmilik tersebut dilakukan oleh Pemilik Berdaftar. Antara keadaan-keadaan tanah yang mana pindahmilik tidak boleh dilakukan adalah seperti berikut:-
1. Tanah yang dikategorikan sebagai “pertanian” tidak boleh dipindahmilik kepada pemilik bersama sekiranya kesan kepada pemilikan bersama tersebut mengakibatkan saiz tanah pertainian itu mengecil kepada 2/5 hektar;
2. Tanah yang dikategorikan sebagai “tanah estet” tidak boleh dipindahmilik kepada 2 pihak atau lebih tanpa kebenaran daripada Lembaga Tanah Estet;
3. Tanah yang dikategorikan sebagai “Rizab Melayu” tidak boleh dipindahmilik kepada bukan Melayu;
4. Tanah yang mengandungi sekatan kepentingan seperti kaveat persendirian dan/atau pendaftar; dan
5. Tanah yang berhubung dengan pajakan, gadaian dan tenansi yang bebas daripada pendaftaran, apa-apa peruntukkan yang berkaitan dengannya samada secara nyata atau tersirat.
Jadi, jika anda adalah pemilik berdaftar dan tanah anda bukan seperti yang dinyatakan di atas, anda boleh buat urusan pindahmilik tanah dengan menyediakan dokumen-dokumen berikut:-
1. Borang 14A. borang ini anda boleh dapatkan di mana-mana pejabat tanah berhampiran dengan anda. Borang ini perlu diisi oleh anda, orang yang anda hendak pindahkan hakmilik dan saksi (peguam atau pendaftar);
2. Geran Hakmilik Tanah yang asal;
3. Notis pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri;
4. Salinan Kad Pengenalan yang diakui sah;
5. Cukai Tanah; dan
6. Cukai Pintu.
Dokumen-dokumen di atas anda serahkan kepada Pejabat Tanah dan proses pindahmilik akan dilakukan oleh Pejabat Tanah. Selesai proses tersebut, nama pemilik yang baru akan didaftarkan di atas Geran Hakmilik Tanah dan anda akan hilanglah hak ke atas satu bidang tanah.
Jika anda tak ingin bersusah payah buat proses pindahmilik, ASP nasihatkan, lantik sahaja peguam untuk uruskan kesemuanya dan anda hanya goyang kaki di rumah sahaja sehingga proses selesai.