[LOMPAT SI KATAK LOMPAT]*PENGENALAN*Hari mengundi bagi Pilihanraya Umum ke-15…


[LOMPAT SI KATAK LOMPAT]

*PENGENALAN*
Hari mengundi bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU 15) semakin menghampiri kita semua. Walau bagaimanapun masih ada dalam kalangan kita yang ragu-ragu untuk keluar mengundi. Antara alasan yang diberikan ialah undi mereka tidak akan membawa sebarang perubahan kerana pilihan mereka akan bertukar parti juga akhirnya.

Perkara ini mungkin ada benarnya 2 tahun yang lalu, tetapi tidak lagi pada tahun 2022 ini. Hal ini kerana Dewan Rakyat pada 28/7/2022 telah meluluskan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang memperuntukkan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

*TUJUAN PINDAAN*
Melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti kerana tindakan bertukar parti atau lompat parti telah menimbulkan banyak masalah terutamanya ketidakstablian politik di peringkat negeri dan nasional. Ini adalah suatu perkara yang serius kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat.

*IMPLIKASI AMALAN LOMPAT PARTI*
Peringkat Nasional – Pada Februari 2020, Parti BERSATU yang mempunyai 26 orang Ahli Dewan Rakyat telah keluar daripada gabungan Pakatan Harapan. Pada masa yang sama, 11 orang Ahli Dewan Rakyat daripada Parti PKR telah keluar daripada parti juga. Ini telah menyebabkan kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan ketika itu hilang majoriti dan tumbang.

Peringkat Negeri – Sepanjang tahun 2020 dan 2021, Kerajaan-Kerajaan Negeri Johor, Perak, Melaka, Kedah dan Sabah yang diterajui Pakatan Harapan hilang majoriti Dewan Undangan Negeri masing-masing menyebabkan kerajan-kerajaan negeri tersebut tumbang dan digantikan dengan kerajaan baharu.

*PERUNTUKAN RELEVAN*
Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan 3 keadaan di mana keahlian seseorang Ahli Dewan Rakyat akan terhenti.
a)dia melepaskan keanggotaan parti politik itu;
b)dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau
c)setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai ahli bebas dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

*CONTOH-CONTOH SENARIO*
a)Datuk Mamat daripada Parti Daun (Dalam gabungan Peikatan Kita) telah keluar parti dan menjadi ahli Parti Bunga Raya (juga dalam perikatan Kita).
b)YB Rama daripada Parti Pelangi dibawah gabungan Barisan Cahaya (BC) telah keluar menjadi ahli Parti Bunga di bawah gabungan Pakatan Rakyat Sejahtera (PRS).
c)Dato Karim yang merupakan ahli Parlimen Bebas telah memohon menjadi ahli Parti Pahlawan.
d)YB Fatimah yang merupakan ahli Parti Srikandi telah keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

*PERLEMBAGAAN NEGERI*
Kita dapat lihat bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mewujudkan larangan lompat parti yang terpakai kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Tetapi bagaimana pula dengan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri?

Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan secara ringkasnya memperuntukkan peruntukan-peruntukan yang hendaklah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Negeri. Ini bermaksud, susulan daripada pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai larangan lompat parti, Perlembagaan-Perlembagaan Negeri juga perlu dipinda bagi mewujudkan larangan lompat parti yang sama.

*AHLI-AHLI DEWAN NEGARA*
Merujuk kepada informasi di atas, kita dapat lihat bahawa larangan lompat parti hanya merujuk kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Bagaimana pula dengan Ahli-Ahli Dewan Negara?

Peruntukan larangan lompat parti melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 tidak terpakai kepada Ahli-Ahli Dewan Negara setelah dipersetujui oleh jawatankuasa pilihan khas.

Rasionalnya ialah Ahli-Ahli Dewan Negara bukanlah dipilih secara terus oleh rakyat Malaysia tetapi mereka adalah dilantik. Ahli Dewan Negara terbahagi kepada dua kategori iaitu Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh Dewang Undangan Negeri.

*KESIMPULAN*
Larangan Ahli Dewan Rakyat melompat parti telah pun mula berkuat kuasa pada 5/10/2022. Oleh sebab itu, tiada alasan lagi bagi kita sebagai rakyat Malaysia untuk berasa sangsi dengan pilihan yang akan kita buat nanti. Undang-undang ini akan meletakkan noktah kepada mereka yang berniat untuk mengkhianati mandat rakyat Malaysia.

*SUMBER RUJUKAN*
BERSATU, Muafakat Nasional peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan di Johor, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/659887/bersatu-muafakat-nasional-peroleh-majoriti-mudah-bentuk-kerajaan-di

Dewan Rakyat lulus RUU anti-lompat parti, https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/28/dewan-rakyat-lulus-ruu-anti-lompat-parti/

Kedah Opposition leader announces formation of Perikatan state govt, collapse of Pakatan and Mukhriz’s reign as MB, https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/05/12/kedah-opposition-leader-announces-formation-of-perikatan-state-govt-collaps/1865438

Kertas Kajian Awal Berkaitan Suatu Undang-Undang Lompat Parti Untuk Malaysia, https://www.bheuu.gov.my/index.php/rang-undang-undang-perlembagaan-pindaan-no-3-2022/ruu/ruu-2

Pakatan Harapan tumbang di Melaka, Perikatan Nasional tubuh kerajaan, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pakatan-harapan-tumbang-di-melaka-perikatan-nasional-tubuh-kerajaan-232308?amp

PH terkubur di Perak, 32 ADUN bentuk kerajaan baharu, https://www.astroawani.com/berita-politik/ph-terkubur-di-perak-32-adun-bentuk-kerajaan-baharu-232970?amp

RUU anti lompat parti tak terpakai kepada ahli Dewan Negara, kata PM, https://www.malaysianow.com/my/news/2022/08/09/ruu-anti-lompat-parti-tak-terpakai-kepada-ahli-dewan-negara-kata-pm

Undang-undang lompat parti berkuat kuasa esok, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1008102/undang-undang-lompat-parti-berkuat-kuasa-esok




Source

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *